Mengikut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud tolong-menolong atau kerja
bersama-sama. Aktiviti gotong-royong masih banyak dilakukan di kampung-kampung
dan kurang dilakukan di bandar pada masa ini. Pada pendapat saya, aktiviti
gotong-royong ini perlu dihidupkan kembali dalam masyarakat di negara kita.
Terdapat beberapa kebaikan amalan gotong-royong jika diamalkan dalam kehidupan
seharian.
Kebaikan pertama amalan gotong-royong ialah dapat memudahkan kerja yang
kita lakukan. Dengan membuat kerja secara gotong-royong, kerja yang kita
lakukan akan lebih senang. Di kampung, majlis yang diadakan biasanya dibuat
secara gotong-royong seperti majlis perkahwinan. Dalam sesuatu majlis yang
diadakan itu,, penduduk kampung akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja
memasak dan mendirikan khemah.
Selain
itu, amalan gotong-royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Kerja yang
dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara
gotong-royong. Contohnya, gotong-royong dalam membersihkan kawasan balai raya
atau sekolah. Apabila kerja yang kita lakukan cepat siap, secara tidak langsung
kita dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Amalan
gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan belanja. Dalam sesetengah
keadaan, kita boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga lima puluh peratus.
Sebagai contoh, jika sesebuah majlis perkahwinan dibuat secara gotong-royong,
kita tidak perlu membayar upah pekerja dan kos penyediaan makanan. Selain itu,
kita juga boleh menjimatkan perbelanjaan membina tempat menunggu bas, jika
dibuat secara gotong-royong.
Di
samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam
kehidupan kita. Amalan nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan
sebuah masyarakat yang bertanggungjawab. Antara nilai-nilai murni yang dapat
dipupuk dalam aktiviti gotong-royong ialah bekerjasama, bertolak ansur dan
kerajinan. Selain itu, amalan bergotong-royong juga dapat memupuk sikap
berjimat cermat dalam masyarakat.
Aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan
kaum amat penting di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai
kaum dan agama. Contohnya, dengan mengadakan gotong-royong bagi menjayakan Program
Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan terjalin secara langsung
atau secara tidak langsung. Sesungguhnya, dengan wujudnya perpaduan kaum di
kalangan rakyat, negara kita akan terus aman dan maju.